Negeri Sembilan

Negeri Sembilan (juga dikenali sebagai Negeri Sembilan Darul Khusus) adalah sebuah negeri di Malaysia yang terletak di pantai barat Semenanjung Malaysia dan bersempadankan Selangor di sebelah utara, Pahang di sebelah timur, Johor di sebelah tenggara dan Melaka di sebelah selatan.[2] Ibu negerinya Seremban. Bandar diraja adalah Seri Menanti yang terletak di dalam daerah Kuala Pilah di tengah negeri. Negeri ini kelima terkecil keluasannya di Malaysia (tangga ke-10), serta di Semenanjung (tangga ke-8), serta mempunyai kependudukan ketiga terkecil (tangga ke-12) di Malaysia, serta di Semenanjung (tangga ke-10).


Negeri-negeri di Malaysia
نڬري٢ دمليسيا
نڬري سمبيلن دار الخصوص
Negeri Sembilan Darul Khusus
Bendera Lambang
Lagu negeri: Berkatlah Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan

      Negeri Sembilan di       Malaysia

Ibu negeri Seremban
Bandar diraja Seri Menanti1
Parti memerintah Pakatan Harapan (PKR)
 - Yang di-Pertuan BesarTuanku Muhriz
 - Menteri BesarAminuddin Harun
Sejarah  
 - Pembentukan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu1895 
 - Penaklukan Jepun1942 
 - Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu1948 
Keluasan
 - Jumlah 6,686 (2,581 sq mi) km²
Populasi
 - banci 2010 997,071 [1]
 - Kepadatan 150/km²
IPM  (2010) 0.739 (tinggi)
Kod panggilan kebangsaan 06
Poskod kebangsaan 70xxx to 73xxx
Huruf pertama plat kenderaan N
Laman sesawang: www.ns.gov.my

Masyarakat Negeri Sembilan merupakan perantau asal Minangkabau, Sumatera Barat, Indonesia yang telah tiba sejak abad ke-14. Kemudian masyarakat yang bermukim pada sembilan negeri seperti Johol, Jelebu, Klang, Sungei Ujong, Naning, Rembau, Jelai, Segamat dan Pasir Besar membentuk persekutuan yang disebut lembaga dan dinamakan Negeri Sembilan. Selanjutnya sebagai penyatuan masyarakat maka diangkatlah seorang raja yang pada awalnya mereka minta dari Yang Dipertuan Pagarruyung.[3]

Penamaan

Nama Negeri Sembilan mula digunakan sejak abad ke-16 untuk merujuk kepada persekutuan petempatan atau "nagari" yang telah dibuka oleh orang Minangkabau di Semenanjung Tanah Melayu iaitu:[4]

  1. Segamat (kini menjadi sebahagian dari Johor)
  2. Naning (kini menjadi sebahagian dari Melaka)
  3. Rembau
  4. Sungei Ujong
  5. Johol (kini kekal dalam Negeri Sembilan moden)
  6. Jelebu (kini kekal dalam Negeri Sembilan moden)
  7. Hulu Pahang (kini sebahagian dari Pahang)
  8. Jelai (kini sebahagian dari Pahang)
  9. Klang (kini sebahagian dari Selangor).

Saiz Negeri Sembilan sekarang lebih kecil berbanding saiz Negeri Sembilan yang asal.

Sejarah

Ketibaan pendatang Minangkabau dan perkahwinan campur Asal

Pada asalnya, kawasan ini didiami oleh orang-orang asli yang terdiri daripada suku kaum Semelai, Semai, dan Jakun. Mereka hidup berpindah randah, memburu, mengutip hasil hutan dan ada yang mula bertani.

Pada awal abad ke-14, orang-orang Sumatera dari Tanah Minangkabau mula tiba ke Negeri Sembilan melalui Melaka dan sampai ke Rembau. Orang Minangkabau ini lebih bertamadun berbanding Orang Asli dan berjaya memujuk hati orang Asli. Dengan itu berlakulah perkahwinan antara orang-orang Minangkabau dengan orang asli dan daripada keturunan mereka dinamakan suku Biduanda. Suku Biduanda ini adalah pewaris asal Negeri Sembilan dan apabila hendak memilih pemimpin maka hanya mereka dari suku Biduanda inilah yang akan dipilih. Orang-orang Minangkabau yang datang kemudian adalah dari suku kampung-kampung asal mereka di Minangkabau. Pada peringkat awal kebanyakan yang tiba adalah dari Tanah Datar dan Payakumbuh.

Dari suku Biduanda inilah asalnya pembesar-pembesar Negeri Sembilan yang dipanggil Penghulu dan kemudiannya Undang. Sebelum wujudnya Yang DiPertuan Besar, Negeri Sembilan adalah di bawah naungan Kesultanan Johor. Kesultanan Johor yang memberi gelaran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Pemilihan raja dari Kerajaan Pagaruyung

Ketibaan Raja Melewar dari Pagar Ruyung, Minangkabau pada 1773, telah memulakan institusi beraja di Negeri Sembilan. Yang uniknya ialah raja di Negeri Sembilan adalah dijemput oleh pembesar-pembesar negeri (Penghulu) dari Pagar Ruyung dan dirajakan di Negeri Sembilan.

Asal penubuhan Negeri Sembilan adalah oleh Dato' Pepatih Nan Sebatang. Beliau juga merupakan pengasas bagi adat perpatih yang sangat dikenali umum. Seperti yang di ketahui umum, adat pepatih lebih mementingkan kaum wanita berbanding kaum lelaki. Pada asalnya, adat ini adalah adat yang terbaik yang didapati di Negeri Melayu dari sistem masyarakat Minangkabau kerana ia sangat mencakupi segala aspek. Keutamaan wanita di dalam adat pepatih sebenarnya lebih kepada mewarisi harta pusaka dan membawa darah keturunan. Berbeza dari kesultanan Melayu di Malaysia pada umumnya, harta dan darah keturunan di warisi oleh kaum lelaki. Menurut adat pepatih, wanita yang mengandungkan dan melahirkan anak maka wanitalah yang membawa darah keturunan kepada pewaris iaitu anaknya. Dari segi harta pula, hanya harta pusaka iaitu termasuk tanah dan rumah induk diwarisi oleh wanita bertujuan agar kaum wanita tidak terabai sekiranya diceraikan oleh suaminya. Namun demikian harta sepencarian adalah milik bersama lelaki dan wanita dan dibahagi mengikut hukum Islam. Hasil positif daripada pengamalan adat pepatih ini, harta pusaka tidak tergadai kerana tidak boleh dijual malah di dalam sesebuah kampung, biasanya terdiri daripada saudara mara kerana tanah pusaka telah dibahagi dari awal keturunan kepada generasi sekarang. Dalam erti kata lain, di dalam sebuah kawasan, biasanya terdiri dari keluarga dari satu keturunan. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

Negeri Melayu lain berpegang pada Adat Temenggong. Tetapi Datuk Perpatih dan Datuk Temenggong adalah dua bersaudara di Sumatera dan terus berkembang di Malaysia. Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 menjadikan Adat Temenggong menjadi dominan di Alam Melayu. Sultan Melaka memberi perlindungan kepada para penghijrah dari Minangkabau untuk menetap di Naning. Selepas Empayar Portugis menguasai Melaka, perlindungan itu dilanjutkan oleh Kesultanan Johor sebagai pewaris Kesultanan Melaka.

Demografi

Penduduk

Negeri Sembilan mempunyai tujuh buah daerah

Kedudukan Daerah Penduduk 2010
1 Seremban 555,935
2 Jempol 116,576
3 Port Dickson 115,361
4 Tampin 84,889
5 Kuala Pilah 66,092
6 Rembau 43,011
7 Jelebu 39,200

Negeri Sembilan mempunyai jumlah populasi di Malaysia seramai 1,021,064 orang pada tahun 2010.[5] Negeri ini mempunyai kelompok etnik yang terdiri daripada kaum Melayu 57.8%, Cina 21.9%, India 14.3%, dan lain-lain 0.35%.

Agama dan Kepercayaan

Agama di Negeri Sembilan - Bancian 2010 [6]
religion percent
Islam
 
60.3%
Buddha
 
21.2%
Hindu
 
13.4%
Kristian
 
2.4%
Agama Cina
 
0.5%
Lain-lain
 
1.4%
Tiada beragama
 
0.8%

Pada tahun 2010 penduduk di Negeri Sembilan terdiri daripada 60.3% Islam, 21.2% Buddha, 13.4% Hindu, 2.4% Kristian, 0.5% Taoisme atau pengamal kepercayaan Cina, 1.4% pengamal ajaran agama lain, dan 0.8% tidak beragama.

Geografi

Negeri Sembilan terletak di bahagian tengah Semenanjung Malaysia, iaitu di bahagian selatan negeri Selangor. Negeri ini bersempadan dengan Pahang di bahagian timur dan Melaka serta Johor di bahagian selatan. Bandar Seremban, iaitu ibu negeri Negeri Sembilan, terletak kira-kira 60 km dari Kuala Lumpur dan kira-kira 40 km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor.

Negeri Sembilan, bersama-sama dengan tujuh daerahnya (Seremban, Port Dickson, Jelebu, Rembau, Tampin, Kuala Pilah, dan Jempol) meliputi keluasan 6,645 km persegi atau 664,591 hektar. Kawasan ini terdiri daripada lembah-lembah dan dataran yang begitu indah mata memandang dalam dakapan alunan bukit-bukau dan pergunungan. Sambil Banjaran Titiwangsa semakin menirus menghala tanah rendah Johor, rupa bumi bergunung-ganang dan hutan belantara beransur berubah menjadi ladang-ladang getah dan kelapa sawit di sebelah barat dan selatan, kecuali di bahagian tengah yang terdiri dari hutan belantara yang belum diterokai.

Daerah

Negeri Sembilan pada asalnya diambil dari sembilan daerah iaitu dan dibakukan menjadi Negeri Sembilan. Pada masa kini tinggal tujuh.

Negeri Sembilan terdiri daripada 9 luak iaitu :-

  • Jelebu (جلبو)
  • Inas/Jelai (اينس)
  • Johol (جوهول)
  • Rembau (رمباو)
  • Sungai Ujong (سوڠاي اوجوڠ)
  • Tampin (تمڨين)
  • Jempol (جمڨول)
  • Ulu Muar (اولو موار)
  • Gunung Pasir (ݢونوڠ ڤاسير)

Kerajaan

Berdasarkan Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 34 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, ketua negeri ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bersama Undang Yang Empat dan Tengku Besar Tampin. Baginda juga adalah Pengerusi Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan dalam urusan berkaitan adat Melayu Negeri Sembilan, iaitu Adat Perpatih.

Pentadbiran kerajaan negeri dipimpin oleh Menteri Besar yang mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan. Di bawah perlembagaan negeri, kuasa meluluskan undang-undang adalah menerusi Dewan Undangan Negeri. Ahli Dewan Undangan Negeri adalah terdiri daripada calon-calon yang memenangi pilihan raya di kawasan masing-masing.

Bagi pentadbiran kerajaan tempatan pula, negeri ini dibahagikan kepada tujuh buah PBT yang terdiri daripada sebuah Majlis Bandaraya, 2 Majlis Perbandaran dan 4 Majlis Daerah.

Senarai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan

NamaMulai bertugasSelesai bertugas
Raja Melewar (Sultan Mahmud ibni Sultan Abdul Jalil) 17731795
Raja Hitam 17951808
Raja Lenggang 18081824
Yamtuan Radin ibni Almarhum Raja Lenggang 18241861
Yamtuan Imam ibni Almarhum Raja Lenggang 18611869
Yamtuan Antah ibni Almarhum Yamtuan Radin 18691888
Tuanku Muhammad ibni Almarhum Tuanku Antah 18881933
Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad 19331960
Tuanku Munawir ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman 19601967
Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman 19672008
Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir2008Kini

Senarai Menteri Besar Negeri Sembilan

NamaMulai bertugasSelesai bertugas
Tun Abdul Malek bin YusofFebruari 1948Ogos 1950
Mohamad Salleh bin SulaimanOgos 1950Januari 1951
Tun Abdul Malek bin Yusof Januari 1951 April 1952
Tun (Dr) Haji Aziz MajidApril 1952Oktober 1952
Tun Abdul Malek bin Yusof Oktober 1952 Oktober 1953
Dato' Shamsuddin bin NaimOktober 1953Januari 1959
Mohamad Shariff bin Abdul SamadApril 1959Jun 1959
Dato' Dr. Mohd Said bin MuhammadJun 1959Mei 1969
Dato' Mansor bin OthmanMei 1969Julai 1978
Tan Sri Dato' Seri Utama Dr. Rais YatimJulai 1978April 1982
Tan Sri Isa Abdul SamadApril 1982Mac 2004
Dato' Seri Utama Mohamad bin Haji HassanMac 2004Mei 2018
Dato' Seri Aminuddin HarunMei 2018Kini

Ekonomi

Sektor pembuatan di Negeri Sembilan menyumbang hampir separuh daripada keluaran dalam negara kasar negara (KDNK), diikuti oleh sektor perkhidmatan dan pelancongan (40.3%), pertanian (6%), pembinaan (2.2%) dan perlombongan (0.3%). Aktiviti pembuatan termasuk elektrik dan elektronik, tekstil, perabot, bahan kimia, jentera, kerja-kerja logam dan produk getah. Kawasan perindustrian utama adalah Senawang, Sungai Gadut, Taman Perindustrian Tuanku Jaafar, Nilai dan Tanah Merah di Port Dickson. Coca-Cola, dimana ianya menubuhkan kilangnya yang bernilai berbilion ringgit di Bandar Enstek.

Negeri Sembilan secara umumnya merupakan sebuah pertanian. Walau bagaimanapun, penubuhan beberapa kawasan industri meningkatkan sektor perkilangan sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negeri.

Aktiviti pertanian termasuk getah dan kelapa sawit, perladangan, penternakan, buah-buahan dan sayur-sayuran. Kira-kira sebanyak 3,099 kilometer persegi digunakan untuk aktiviti getah dan kelapa sawit.

Kebudayaan

Masyarakat Melayu di Negeri Sembilan sememangnya terkenal dengan kesenian Negerinya seperti Randai yang dibawa oleh masyarakat Minangkabau dari Sumatera Barat, Indonesia.

Sejarah

Negeri Sembilan mempunyai adat, kebudayaan, sejarah, tradisi dan sistem politiknya yang agak unik. Peribahasa "biar mati anak, jangan mati adat" telah menjadi pegangan hidup rakyat yang berketurunan Minangkabau. Adat Perpatih telah wujud di Tanah Melayu sejak kurun ke-14, kekal menjadi adat yang unik di Negeri Sembilan sehingga kini. Ia amat jelas diterangkan dalam pembahagian harta pusaka, gelaran dan juga suku yang memihak kepada kaum wanita. Menurut sejarah, rombongan awal yang datang terdiri daripada kaum lelaki, tetapi susurgalur keturunan seseorang itu adalah "mengikut perut" iaitu tertakluk kepada suku ibunya. Melalui persemendaan ini jugalah masyarakat Negeri Sembilan terpecah kepada 12 kumpulan yang dikenali dengan nama "suku".

Adat Perpatih Di Negeri Sembilan

Keunikannya adat adalah berdasarkan kepada sumber adat tersebut dan sistem nasab ibu yang diamalkan oleh masyarakatnya. Sistem ini tidak terdapat di negeri-negeri lain di Malaysia. Disebabkan itu, ia merupakan peraturan atau undang-undang dalam masyarakat orang Melayu di Negeri Sembilan dan kata-kata yang diungkapkan dalam adat perpatih iaitu "perpatah-pertitih" mempunyai nilai-nilai kesenian yang tinggi. Para sarjana pernah mencatatkan hasil sastera lama Melayu adalah pancaran masyarakat Melayu pada zaman tersebut. Oleh itu, perpatah-petitih ini dapat menyingkap tentang pandangan hidup masyarakat Melayu secara umum dan etos Melayu khususnya. Adat Perpatih yang diwarisi masih dipertahankan oleh masyarakat Negeri Sembilan kerana adat itu boleh menerima perubahan semasa ke semasa. Ini boleh dilihat daripada segi politik di mana sistem Yamtuan Besar dan Dato'-dato Undang masih meneruskan kelangsungan tanpa digugat termasuklah institusi Dato' Lembaga dan buapak-buapak. Daripada aspek sosial, ia masih bercirikan hidup kekeluargaan seperti budaya bekerjasama, bermuafakat, saling hormat-menghormati dan semangat kejiranan. Selain itu, upacara nikah kahwin, kenduri dan sebagainya masih mempunyai ciri-ciri tradisi yang unik.

Suku dan Perut

Masyarakat Melayu Negeri Sembilan dikelaskan mengikut nenek moyang mereka. Pengkelasan ini dikenali sebagai suku. Suku dalam pengertian adat ialah anggota masyarakat yang terbentuk daripada kelompok keturunan yang daripada sebelah ibunya. Dalam konteks masyarakat Adat Perpatih terdapat 12 suku iaitu:

  1. Biduanda
  2. Batu Hampar
  3. Mungkal
  4. Sri Lemak
  5. Paya Kumboh
  6. Tiga Nenek
  7. Sri Melenggang
  8. Batu Belang
  9. Tanah Datar
  10. Anak Acheh
  11. Anak Melaka
  12. Tiga Batu

Seseorang yang membuat tafsiran mengenai nilai-nilai yang terdapat dalam adat sehubungan dengan ungkapan "biar mati anak, jangan mati adat" ini hanya melihat dari sudut kategori yang keempat di atas sahaja. Pepatah "biar mati anak jangan mati adat" yang menjadi prinsip asas sistem hidup bermasyarakat dalam Adat Perpatih ini sering disalah tafsir bukan sahaja orang biasa tetapi juga pemimpin-pemimpin Melayu. Semua ini berlaku adalah disebabkan mereka kurang memahami maksud sebenarnya yang dikatakan mengenai adat tersebut.[7]

Pendidikan

Negeri Sembilan mempunyai beberapa buah institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Kebanyakan pusat institusi pengajian tinggi lebih tertumpu di bandar-bandar utama di Negeri Sembilan. Berikut merupakan beberapa buah institusi pengajian tinggi awam dan swasta:

Institusi pengajian tinggi awam

Nama panjang Nama pendek Diasaskan Lokasi
Politeknik Port Dickson PPD 1990 Port Dickson
Universiti Sains Islam Malaysia USIM 1998 Nilai
Universiti Teknologi MARA UiTM 1999 Kuala Pilah,Seremban,Rembau& Nilai
Politeknik Nilai PNS 2007 Bandar Enstek, Nilai
Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik IPG KPT 2013 Bandar Enstek, Nilai

Institusi pengajian tinggi swasta dan kolej universiti

Nama panjang Nama pendek Diasaskan Lokasi
Kolej Universiti Antarabangsa INTI INTI-IU 1998 Nilai
Manipal International University MIU 2011 Nilai
Kolej Antarabangsa Nilai NU 1997 Nilai
Universiti Mayfield MFU 2005 Bahau
Kolej Universiti Linton UCL 1995 Mantin
Malaysia Theological Seminary STM 1979 Seremban
UCSI International School UCSI 1986 Bandar Springhill
Kolej Unniversiti Teknologi Islam UNITI 1997 Pasir Panjang, Port Dickson

Hospital

Berikut merupakan beberapa buah hospital awam dan hospital swasta yang terdapat di Negeri Sembilan:

Hospital Awam

Hospital Swasta

Makanan

Makanan tradisi Negeri Sembilan adalah panas dan pedas sebagai salah satu daripada bahan-bahan yang digunakan adalah cili padi, iaitu cili yang paling pedas. Hidangan yang terkenal termasuklah rendang, (kepingan daging lembu dimasak dengan santan dan cili). Jika seseorang merasai gaya Minangkabau yang agak unik dalam memasak, dengan menyaksikan mereka sering menggunakan 'cili padi' (cili kecil dan sangat panas) dalam setiap masakannya. Dengan memasak "Masak Lemak Cili Padi - ikan, daging, atau sayur masak dalam santan dicampur dengan kunyit dan cili padi tanah.

Satu lagi keistimewaan Negeri Sembilan adalah "Lemang", pulut dimasak dengan santan dalam batang buluh di atas api terbuka. Ia dihidangkan dengan Rendang, kari daging yang lazat serta tebal dan kering.[8]

Tempat pelancongan

Negeri Sembilan juga merupakan antara negeri yang mempunyai daya tarikan sama ada dari segi semula jadi mahupun fizikal seperti:

Gunung

  1. Gunung Angsi, Kuala Pilah
  2. Gunung Dato, Rembau
  3. Gunung Tampin, Tampin
  4. Gunung Antu Besar, Kenaboi

Hutan lipur

  1. Hutan Lipur Serting Ulu, Serting Ulu
  2. Hutan Lipur Ulu Bendul, Kuala Pilah
  3. Hutan Lipur De Bana, Lui Barat
  4. Hutan Lipur Jeram Tengkek, Tengkek

Padang golf

  1. Gemas Golf Resort, Gemas
  2. Tuanku Jaafar Golf & Country Club, Seremban
  3. Nilai Springs Golf & Country Club, Nilai
  4. Staffield Country Resort, Mantin

Muzium

  1. Muzium Adat, Kuala Klawang, Jelebu
  2. Muzium Lukut, Lukut, Port Dickson
  3. Muzium DiRaja, Seri Menanti
  4. Muzium Replika Istana Raja Melewar, Rembau

Air terjun

  1. Air Terjun Lata Kijang, Kenaboi
  2. Air Terjun Jeram Gading, Titi
  3. Air Terjun Jeram Toi, Pantai

Pantai

  1. Pantai Teluk Kemang, Teluk Kemang
  2. Blue Lagoon, Teluk Kemang
  3. Pantai Port Dickson, Port Dickson

Tempat menarik

  1. Teratak Za'ba, Batu Kikir
  2. Kampung Lonek, Batu Kikir
  3. Kampung Serting, Serting
  4. Perkampungan Orang Asli, Durian Tipus
  5. Kampung Seri Menanti, Seri Menanti
  6. Kampung K. Klawang, Kuala Kelawang
  7. Talang Dam, Tanjong Ipoh
  8. Makam Tuan Tulis, Kuala Talang, Tanjong Ipoh
  9. Taman Tasik Seremban, Seremban
  10. Kampung Pelegong, Seremban
  11. Masjid Tugu, Seremban
  12. Stesen Kereta Api Seremban, Seremban
  13. Rumah Api Tanjong Tuan, Teluk Kemang
  14. Kubu Lukut, Lukut
  15. Kolam Air Panas Pedas, Pedas
  16. Pedas Wet World, Pedas
  17. Istana Seri Menanti, Seri Menanti
  18. Kompleks Kraftangan Kebudayaan dan Muzium Negeri Sembilan, Seremban
  19. Muzium Tentera Darat, Port Dickson
  20. Pantai Port Dickson, Port Dickson atau Sirusa

Pengangkutan

Lokasi di Negeri Sembilan

Dari segi fasiliti pengangkutan, Negeri Sembilan mempunyai rangkaian jalan raya sepanjang 3,000 km. Pembinaan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), Lebuh Raya LEKAS dan Lebuh Raya ELITE telah banyak memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya merentasi negeri termasuk ke Negeri Sembilan. Selain itu, sektor pengangkutan awam yang semakin pesat membangun memberi kesan yang positif terhadap masyarakat tempatan terutamanya dalam memberi keselesaan sewaktu melakukan perjalanan. Selain itu, terdapat juga kemudahan rangkaian jalan kereta api yang menghubungkan bandar-bandar di dalam Negeri Sembilan dengan negeri-negeri di pantai barat dan pantai timur Semenanjung Malaysia. Namun, Negeri Sembilan merupakan salah satu daripada dua buah negeri di Malaysia yang tidak mempunyai kemudahan lapangan terbang selain dari negeri Perlis. Walau bagaimanapun, kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hanya terletak sejauh 30 minit perjalanan dari bandar Seremban melalui Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya ELITE.

Seremban

Di ibu negeri, Seremban merupakan hab pengangkutan awam bagi Negeri Sembilan. Terdapat pelbagai jenis pengangkutan awam boleh didapati di pusat bandar serta terdapat banyak pemilikan kenderaan persendirian seperti bas dan keretapi.

Bas

Seremban mempunyai sebuah stesen bas utama iaitu Terminal One yang menghubungkan Seremban dengan bandar-bandar utama di Negeri Sembilan seperti Kuala Pilah, Bahau, Rembau dan Malaysia seperti Alor Setar, Ipoh dan Melaka. Semua syarikat bas yang menyediakan perkhidmatan bas berpusat di sini.

Keretapi

Stesen KTM Komuter Seremban ialah salah sebuah stesen komuter untuk Laluan Batu Caves - Tampin. Dahulunya menjadi stesen penamat untuk perkhidmatan KTM Komuter tetapi jajaran aliran telah dipanjangkan menjangkau hingga stesen komuter Sungai Gadut. Stesen ini menjadi nadi kepada penduduk Seremban yang bekerja dalam pelbagai sektor di Lembah Klang yang menjadikan komuter sebagai alternatif mengelakkan kesesakan di lebuhraya sekitar Kuala Lumpur pada waktu puncak. Terdapat juga penduduk yang bukan berasal dari kawasan Negeri Sembilan menetap di Seremban namun bekerja di kawasan Lembah Klang seperti dari Selangor dan Kuala Lumpur.

Gemas

Gemas juga merupakan salah satu tempat yang mempunyai kemudahan Stesen kereta api yang menghubungkan antara laluan pantai barat (Padang Besar-Woodlands) dan laluan pantai timur (Tumpat-Gemas).

Tampin

Bandar Tampin berjiran dengan Bandar Pulau Sebang, Melaka. Lampu isyarat di kedua-dua bandar yang berjiran itu merupakan sempadan antara Negeri Melaka dan Negeri Sembilan. Tampin boleh dihubungkan dengan Melaka, Seremban dan Johor Bahru melalui jalan persekutuan. Lebuh raya utama tidak melalui daerah Tampin tetapi boleh menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan dan keluar melalui Tol Simpang Ampat Alor Gajah. Daerah Tampin mempunyai Stesen keretapi iaitu Gemas, Batang Melaka dan Air Kuning Selatan. Namun stesen Air Kuning Selatan telah ditutup. Projek landasan kereta api berkembar antara Seremban ke Gemas turut menggantikan Stesen Kereta Api Batang Melaka yang sedia ada di lokasi yang baru. Walau bagaimanapun lokasi Stesen KTMB Batang Melaka yang baru akan dipindahkan dalam kawasan Negeri Melaka. Stesen keretapi terdekat bagi bandar Tampin ialah Stesen Keretapi Pulau Sebang, Alor Gajah Melaka yang terletak hanya 1 kilometer sahaja dari Pusat bandar Tampin.

Senawang

Senawang yang mempunyai kemudahan pengangkutan rel juga dikenali sebagai Senawang halt, merupakan sebuah stesen kereta api yang menyediakan perkhidmatan sebagai perhentian di garisan Stesen keretapi Rawang. Ia kini dalam pembinaan sebagai sebahagian daripada projek landasan berkembar dan berelektrik antara Seremban dan Gemas, diambil alih oleh IRCON International, sebuah anak syarikat Indian Railway. Stesen tersebut memulakan perkhidmatannya sejak 14 Mei 2011.

Jenis pengangkutan

Bas

Stesen bas Terminal One di Seremban merupakan pusat tumpuan bas utama di Negeri Sembilan yang menawarkan perkhidmatan bas ekspres harian ke semua bandar dan bandaraya utama di Semenanjung Malaysia dan Singapura. Terminal One juga menyediakan perkhidmatan bas perbandaran biasa ke Port Dickson, Tampin, Kuala Pilah, Bahau dan bandar-bandar lain di negeri tersebut.

Teksi

Teksi juga mudah diperolehi di Stesen Teksi Seremban di Jalan Tuanku Munawir. Dengan mengenakan tambang yang munasabah, seseorang boleh menggunakan perkhidmatan teksi untuk ke bandar-bandar utama di Negeri Sembilan dan juga ke Kuala Lumpur, Melaka dan Johor Bahru.

Keretapi

Seremban dihubungkan ke Kuala Lumpur melalui perkhidmatan tren komuter pantas yang begitu selesa dan berlepas setiap 15 minit (Waktu puncak) dan 45 minit (Luar Waktu Puncak). Seremban juga mudah dihubungkan melalui rangkaian jalan keretapi utama di Semenanjung Malaysia yang menghubungkannya dengan kebanyakan bandar-bandar utama.

Kereta sewa

Kereta sewa boleh didapati di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk membolehkan seseorang memandu ke seluruh pelosok Negeri Sembilan. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang sudah berada di Negeri Sembilan, urusan sewaan kereta boleh dijalankan melalui beberapa agen pelancongan.

Agen pelancongan

Sesetengah agen pelancongan utama mempunyai pejabat tersendiri di bandar Seremban. Lawatan ke seluruh negeri boleh diuruskan melalui hotel-hotel utama.[9]

Tempat menarik mengikut daerah

Jelebu

  • Batu Peringatan Inggeris Kuala Klawang
  • Homestay Klawang
  • Jeram Toi
  • Jeram Gading
  • Lata Kijang
  • Ladang Nenas Titi
  • Muzium Adat
  • Taman Alam Liar Lembah Jemaloi

Jempol

  • Teratak Za'ba
  • Hutan Lipur Serting Ulu
  • Hutan Lipur De Bana
  • Homestay Lonek
  • Ladang Boer Den
  • Era Golf Country Resort
  • Kawasan Penarikan Sungai Muar/Jempol/Pahang

Seremban

  • Muzium Negeri
  • Taman Budaya
  • Taman Tasik Seremban
  • Dataran Seremban
  • Perpustakaan Negeri
  • Kompleks Kraftangan
  • Taman Malaysia
  • Taman Rekreasi Seremban 2
  • Pusat Borong Nilai 3
  • Seremban International Golf Club
  • Kampung Pelegong Homestay, Nilai
  • Dataran Senawang
  • Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri
  • Istana Hinggap Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan

Kuala Pilah

  • Bandar DiRaja Seri Menanti
  • Batu Megalitik
  • Gunung Angsi
  • Hutan Lipur Ulu Bendul
  • Hutan Lipur Jeram Tengkek
  • Hutan Lipur Batu Maloi
  • Homestay Laman Bangkinang
  • Istana Besar Seri Menanti
  • Ladang Rusa
  • Perkampungan Budaya Terachi

Rembau

  • Adventure Community Center Sukabumi
  • Homestay Batang Nyamor
  • Hutan Lipur Gunung Datuk
  • Muzium Adat Rembau
  • Pangkalan Sungai Timun
  • Rembau Crystal
  • Wet World Air Panas Pedas
  • Gunung Dato
  • Pekan Rembau

Port Dickson

  • Dataran Kemang
  • Kompleks Baitul Hilal
  • Hutan Lipur Pasir Panjang
  • Hutan Simpan Sungai Menyala
  • Kelong Memancing Kuala Lukut
  • Kota Lukut
  • Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas
  • Kompleks Ikan Hiasan
  • Ladang Burung Unta
  • Muzium Lukut
  • Muzium Tentera Darat
  • PD Mini Zoo
  • PD Waterfront
  • Pantai Teluk Kemang
  • Royal Palm Springs Golf Club
  • Pantai-pantai peranginan
  • Rumah Terbalik
  • Tanjung Tuan
  • Rumah Api Tanjung Tuan (dikongsi oleh kedua-dua Negeri Sembilan dan Melaka)

Tampin

  • Batu Megalitik
  • Gua Emas
  • Gemas Golf Resort
  • Hutan Lipur Gunung Tampin
  • Homestay Gemas
  • Memorial Perang Dunia Kedua Sungai Kelamah, Gemas
  • National Feedlot Centre [10]

Media

Televisyen

Saluran televisyen di Negeri Sembilan terbahagi kepada tujuh stesen siaran percuma, dan satu rangkaian televisyen satelit. Tiga daripada tujuh siaran percuma dikendalikan oleh Radio Televisyen Malaysia, yang dimiliki oleh syarikat media kerajaan persekutuan yang beribu pejabat di Kuala Lumpur, manakala empat stesen komersial yang lain dimiliki oleh Media Prima, sebuah syarikat media bersepadu yang beribu pejabat di Bandar Utama, Selangor. Perkhidmatan televisyen satelit yang dimiliki oleh Astro All Asia Networks dan ia boleh didapati di seluruh negara. Terdapat pemancar televisyen di Gunung Telapa Burok untuk meliputi Seremban, Jelebu, Kuala Pilah, Port Dickson, manakala Rembau, Tampin dan Jempol menerima siaran TV dari Gunung Ledang Johor.

Siaran percuma

Televisyen satelit

Akhbar

Akhbar-akhbar utama di Negeri Sembilan adalah:

Penduduk terkenal

Lihat juga

Rujukan

  1. "Laporan Kiraan Permulaan 2010". Jabatan Perangkaan Malaysia. m/s. iv. Diarkib daripada yang asal pada 2010-12-27. Dicapai pada 2011-01-24.
  2. http://maps.google.com/maps?f=q&hl=en&q=Negeri+Sembilan%2C+Malaysia
  3. de Josselin de Jong, P. E., (1951), Minangkabau and Negri Sembilan, Leiden, The Hague.
  4. Mohd Shah bin Mohd Said al-Haj, Tambo Alam Naning, DBP, 2000, ms 164
  5. "Laporan Kiraan Permulaan 2010". Jabatan Perangkaan Malaysia. m/s. iv. Dicapai pada 24 Januari 2011.
  6. "2010 Population and Housing Census of Malaysia" (PDF). Department of Statistics, Malaysia. Dicapai pada 17 June 2012. p. 13
  7. http://lmns.ns.gov.my/index.php/component/content/article/9-uncategorised/200-adat-perpatih
  8. http://go2travelmalaysia.com/tour_malaysia/ns_historical.htm
  9. Kemudahan pengangkutan di Negeri Sembilan
  10. Tempat menarik di Negeri Sembilan

Pautan luar


This article is issued from Wikipedia. The text is licensed under Creative Commons - Attribution - Sharealike. Additional terms may apply for the media files.